NEW YORK, 21 Mei- Mogul hip hop terkenal, Sean "Diddy" Combs, pernah mengambil pil ekstasi berbentuk wajah bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menurut kenyataan bekas pembantunya dalam perbicaraan kes pemerdagangan seks dan jenayah terancang di Mahkamah Persekutuan Manhattan, Selasa.
David James, yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi Combs dari 2007 hingga 2009, memberitahu juri bahawa beliau kerap melihat Combs mengambil pelbagai jenis dadah termasuk opiates pada siang hari dan ekstasi pada waktu malam.
James juga mengaku dirinya pernah mengambil dadah bagi pihak Combs dan rakan-rakannya, serta sering menghantar pelbagai barangan peribadi seperti pelincir dan kondom ke bilik hotel Combs.
Satu insiden yang diceritakan James menarik perhatian mahkamah apabila beliau menyebut Combs pernah menelan pil ekstasi berbentuk wajah bekas presiden. Apabila ditanya oleh pendakwa raya Christy Slavik presiden mana yang dimaksudkan, James menjawab: "Presiden Obama."
Pendakwa raya mendakwa Combs, pengasas label Bad Boy Records memaksa beberapa wanita untuk menyertai sesi seks berkumpulan berasaskan dadah yang dikenali sebagai "Freak Offs", dari tahun 2004 hingga 2024. Aktiviti tersebut dikatakan berlangsung berhari-hari, dan melibatkan pegawai Combs sendiri yang membantu menyediakan dadah, menempah serta melengkapkan bilik hotel, dan memberikan wang tunai kepada pekerja seks lelaki.
Combs, 55, menafikan kesemua tuduhan. Peguamnya mengakui bahawa Combs pernah menghadapi isu penyalahgunaan dadah dan merupakan pasangan yang "kasar", namun menegaskan bahawa semua hubungan seks yang berlaku adalah atas dasar suka sama suka.
Minggu lalu, mahkamah mendengar testimoni daripada Cassie, penyanyi R&B dan bekas teman wanita Combs, yang merupakan saksi utama pendakwaan. Cassie, atau nama sebenarnya Casandra Ventura, mendakwa beliau dipaksa menyertai Freak Offs selama hampir satu dekad, pada awalnya untuk menggembirakan Combs dan kemudian kerana beliau diperas ugut dengan rakaman video aksi tersebut.
Dalam keterangannya pada Selasa, James turut berkongsi satu insiden mengejutkan pada tahun 2008, apabila Combs memintanya menghantar iPod ke sebuah bilik hotel di Miami.
Sebaik sahaja James membuka pintu bilik, dia ternampak seorang lelaki berbogel dan memakai kondom meluru keluar dari bilik tersebut. Di atas katil, Cassie dilihat terbaring dalam keadaan kaku, tidak bergerak, dalam posisi terlentang, yang menurut James amat luar biasa, kerana Cassie biasanya tidur mengiring.
James berkata, beliau tidak berbual langsung dengan Combs mengenai insiden itu, namun sempat menyedari bunyi pancuran air di bilik mandi yang disyaki digunakan oleh Combs ketika itu.
Ventura dalam testimoni terdahulu mengakui beliau amat bergantung kepada opiat ketika bersama Combs dan hanya berhenti mengambil dadah pada tahun 2022.
Perbicaraan dijangka berlanjutan dalam minggu-minggu akan datang dengan lebih ramai saksi bakal dipanggil untuk memberi keterangan.