fb fb fb fb fb

Air Titik Ke Batu: Gabungan dua generasi dalam irama dangdut

Mas Idayu (kiri) dan pendatang baharu berbakat, Farez Adnan (kanan) / Foto RTM

PUCHONG, 22 Mei – Lagu terbaharu hasil kolaborasi penyanyi legenda dangdut, Mas Idayu dan pendatang baharu berbakat, Farez Adnan, berjudul Air Titik Ke Batu, dilancarkan secara rasmi dalam satu sidang media meriah di Rusa Music.

Lagu yang menggabungkan kekuatan vokal dua generasi itu mula mencuri perhatian ramai apabila muzik video serta audio rasminya tular di pelbagai platform media sosial.

Air Titik Ke Batu mengangkat tema kekecewaan cinta, pengkhianatan serta janji-janji yang dimungkiri, dengan susunan muzik yang moden namun masih mengekalkan elemen dangdut klasik.

Lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Farez Adnan, dengan bimbingan komposer berpengalaman, Cikgu Kaber.

Menurut Farez, penciptaan lagu tersebut banyak mengambil inspirasi daripada kisah hidup sebenar Mas Idayu sendiri.

“Bila Cikgu Kaber beri saya dengar melodi, saya terus terinspirasi. Saya tulis lirik dari A sampai Z, dan masukkan identiti Mami (Mas Idayu) seperti frasa ‘Robek hatiku hey’ yang memang sinonim dengan beliau,” katanya.

Mas Idayu pula menjelaskan beliau tidak merancang untuk menyertai projek tersebut pada awalnya, namun berubah fikiran selepas melihat kesungguhan Farez dalam mempersembahkan karya tersebut.

“Pada awalnya Mami tak nak duet. Tapi bila dengar lagu yang dah siap, Mami terus kata ‘yes’. Lagu ini betul-betul menyentuh emosi dan Mami sangat menghargai kepercayaan yang diberi,” ujar beliau.

Air Titik Ke Batu kini boleh distrim melalui semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube melalui saluran rasmi MVM Music.

Sebagai sebahagian daripada kempen promosi lagu itu, satu Pertandingan TikTok #AirTitikKeBatu turut dilancarkan.

Peminat digalakkan untuk menyanyi, menari atau menghasilkan kandungan kreatif menggunakan lagu tersebut.

Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Pertandingan akan berakhir pada 30 Mei dan pemenang akan diumumkan pada 1 Jun melalui akaun rasmi Instagram Mas Idayu (@masidayu1001), Farez Adnan (@farezadnan), dan MVM Production (@mvm_production).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN