fb fb fb fb fb

Pencarian Sitara Bintang Klasik 2025 dapat sambutan menggalakkan

Foto RTM

IPOH, 17 Mei- Pencarian Sitara Bintang Klasik 2025 yang membuka tirai hari ini mendapat sambutan amat menggalakkan.

Rata-rata peserta yang hadir pada sesi uji bakat di Perak membuktikan kesungguhan dan minat mendalam generasi muda terhadap lagu malar segar.

Penerbit Bintang Klasik 2025 RTM Perak, Norahidah Abdul Rahim berkata, uji bakat yang berlangsung di Aeon Station 18 itu menarik minat ramai.

"Saya teruja dengan sambutan yang diberikan, terutamanya kerana faktor usia untuk uji bakat ini adalah antara 18 hingga 35 tahun. Alhamdulillah, orang-orang muda memang meminati lagu-lagu malar segar ini.

"Saya sebagai penyelaras dan penerbit di Perak, saya amat berterima kasih kepada warga Perak atas sambutan yang begitu menggalakkan," katanya ketika ditemui pemberita RTM di sini.

Sementara itu, seorang peserta orang kurang upaya cacat penglihatan, Nurain Izzati mencuba nasib buat kali kedua setelah gagal pada uji bakat yang pernah dihadirinya pada tahun 2019 dahulu.

"Sebelum ini, saya pernah sertai juga Bintang Klasik pada tahun 2019, tapi masa itu belum ada rezeki. Kini saya kembali lagi untuk uji bakat kali kedua," katanya.

Manakala bagi peserta dari Johor yang mencuba nasib uji bakat di Perak hari ini,bersyukur dapat menyertai uji bakat setelah had umur dinaikkan daripada 30 ke 35 tahun berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini, saya tak berpeluang kerana had umur sudah melebihi syarat yang ditetapkan. Tapi tahun ini, had umur dinaikkan kepada 35 tahun, jadi inilah peluang keemasan untuk saya mencuba," kata peserta uji bakat, Muhamad Fakhrullah.

Sebanyak 22 lokasi yang akan dijalankan uji bakat Bintang Klasik 2025 dan kesemua peserta diberi pilihan sebanyak 12 lagu bagi kategori lelaki dan wanita.

Program uji bakat hari ini turut dimeriahkan dengan persembahan bekas pemenang Bintang Klasik RTM 2019 iaitu Hidayah Halim.

Dalam pada itu, di Pulau Pinang, para peserta menyatakan rasa teruja dan gembira dapat menyertai uji bakat berkenaan.

"Kami terdengar mak buka Radio Klasik, dan dari situlah saya mendapat maklumat mengenai uji bakat ini. Mak juga turut membantu memilih lagu. Daripada senarai 12 lagu yang diberikan, mak mencadangkan lagu "Gelombang", jadi saya pun mencubanya," kata peserta uji bakat, Norazra Abdul Rahim.

"Saya pun membesar dengan lagu-lagu klasik. Ayah memang suka pasang lagu-lagu klasik, termasuk lagu P. Ramlee. Jadi, saya memang sudah terbiasa dengan irama klasik. Dalam kereta pun selalu dengar lagu klasik. Sebab itu saya tahu tentang pertandingan ini," kata peserta uji bakat, Siti Fatimah Azzahra Abdul Hamid.

"Harapan saya untuk Bintang Klasik ini adalah agar program ini dapat diteruskan. Supaya legasi-legasi seni terdahulu dapat disampaikan kepada generasi masa kini.

"Sekarang ini pun sudah masuk generasi Beta, jadi kita harap program seperti ini berkekalan agar warisan muzik klasik terus dikenali sepanjang zaman," kata peserta uji bakar, Abdul Hadi Abdul Salam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM