KUALA LUMPUR, 20 Mac - Wakil negara dalam permainan Mobile Legend Bang Bang (MLBB), Todak, yakin mampu membawa pulang pingat dalam Sukan SEA Hanoi 2021.
Salah seorang pemain, Zikry Shamsuddin atau dikenali sebagai 'Moon' berkata, kemasukan seorang pemain profesional memperkuat pasukan mampu membantu pasukan itu menyerlah.
Jelas Zikry, beliau juga yakin tiada masalah untuk membentuk keserasian di antara pemain sedia ada dan pemain baharu.
"Keserasian itu tak susah sebab kita tahu pemain (profesional) tersebut sangat tahu dengan gaya permainan kami dan kami pun sangat tahu dengan gaya permainan dia, bagi kami untuk biasakan dengan dia punya gaya permainan dan dia biasakan dengan gaya permainan kami, rasanya tidak ambil masa yang lama," katanya yang ditemu bual Berita RTM secara eksklusif, di sini.
(Pemain Todak, Zikry Shamsuddin ketika ditemu bual Berita RTM)
Zikry dan empat lagi rakan sepasukan kini sedang bersaing dalam kejohana Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia yang juga sebagai rangka persiapan ke Sukan SEA.
Todak terpilih mewakili negara bagi permainan Mobile Legend Bang Bang (MLBB) di Sukan SEA Hanoi selepas menjuarai Kejohanan Pemilihan E-Sukan Malaysia 2022 bulan lepas.