KUALA LUMPUR, 20 Mac- Kegagalan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang tersekat di separuh akhir Kejuaraan All England semalam adalah berpunca daripada sikap 'tidak sabar' pemain itu sendiri di atas gelanggang.
Demikian pandangan bekas pemain nombor 1 dunia, Muhammad Roslin Hashim selepas menyaksikan kekalahan juara bertahan itu kepada bintang muda dari India, Lakshya Sen dalam pertarungan 3 set.
Pada aksi separuh itu, Zii Jia yang berada di ranking ke-7 dunia, gagal meneruskan misi mempertahankan kejuaraannya selepas tumpas 13-21, 21-12, 19-21 dalam tempoh 76 minit.
Namun menurut Roslin, pemain berusia 23 tahun itu sebenarnya berpeluang cerah memenangi pertemuan tersebut sekiranya dia lebih bersabar dan tidak gopoh dalam mengejar mata.
"Laksyha Sen dilihat lebih bersungguh bersungguh berbanding Zii Jia dalam perlawanan ke tiga,"
"Pada awalnya kita lihat Zii Jia sudah mendahului dengan 16-13 tetapi beliau membuat tidak membuat pukulan yang baik untuk menamatkan perlawanan sebaliknya mengikut arus perlawanan semata-mata," jelasnya kepada Berita RTM.
(Bekas pemain nombor 1 dunia, Muhammad Roslin Hashim)
Katanya, meskipun bangkit memenangi set kedua, Zii Jia bagaimanapun gagal mengawal dirinya di penghujung set ketiga, sekali gus membuka ruang Lakshya Sen memenangi pertemuan tersebut.
Di sebalik kekalahan itu, Roslin bagaimanapun menyifatkan masih ada peningkatan positif dipamerkan Zii Jia, terutama semangat juang tinggi pemain kelahiran Kedah tersebut serta kematangannya dalam aspek kawalan gelanggang.
Selain itu, Zii Jia turut mempamer prestasi cemerlang di sepanjang kejohanan, termasuk menewaskan juara dan bekas pemain nombor 1 dunia, Kento Momota buat kali kedua di suku akhir kejohanan ini.