fb fb fb fb fb

LTdL kembali temui peminat pada tahun ini

IPOH, 20 Mac - Perlumbaan jelajah basikal terulung negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali diadakan di Malaysia pada Jun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penganjurannya dipersetujui selepas negara memasuki fasa endemik COVID-19.

LTdL 2022 menjadi acara yang ditunggu-tunggu selepas tidak menemui peminat pada tahun lepas akibat wabak COVID-19 yang memaksa pembatalan kebanyakan acara sukan tempatan dan antarabangsa utama selama hampir dua tahun di negara ini.

Memasuki edisi ke-26, perlumbaan berstatus UCI ProSeries itu akan diadakan pada 11 hingga 18 Jun nanti.


(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap pada sidang media)

"Saya mengharapkan agar usaha yang telah dibuat ini, membawa kembali Le Tour de Langkawi dapat menyemarakkan lagi minat orang ramai dalam sukan berbasikal.

"Bukan itu saja, yang jauh lebih penting ialah untuk kita kembali memperkenalkan negara kita, memaklumkan kepada dunia bahawa Malaysia telah dibuka dan kita jemput orang ramai kembali datang ke Malaysia untuk melancong dan bercuti di negara kita yang mempunyai banyak tempat-tempat indah untuk tujuan percutian," kata beliau pada sidang media sempena Karnival Belia Dan Sukan serta Majlis Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi edisi ke-26, di sini.

LTdL tahun ini akan membabitkan laluan sepanjang 1,183 kilometer dengan lapan peringkat membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Langkawi.

Sebanyak 22 pasukan dijangka mengambil bahagian termasuk 18 pasukan dari luar negara.

Perlumbaan LTdL berstatus Pro Series, iaitu setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI iaitu Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain.

Media Baharu