SHAH ALAM, 20 Mac - Dua gol Nur Syafiqah Zainal Abidin berjaya membantu Melaka menundukkan PDRM FC dengan 3-0 pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Wanita 2022 di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, di sini.
Syafiqah yang kini memburu gelaran penjaring terbanyak liga mencetak jaringan pada minit ke-12 dan 18.
Selain itu, Intan Sarah Anisah turut meledak gol di babak kedua melalui jaringan ke-12 peribadinya.
(Aksi perlawanan di antara Melaka menentang PDRM FC pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Wanita 2022)
Ia adalah kemenangan ketujuh buat Melaka sepanjang liga dan muncul selaku pendahulu liga dengan jumlah 21 mata.
Skuad Jamhuri Zainuddin itu dijangka mampu melakar gelaran juara jika berjaya meraih 3 mata penuh untuk baki dua perlawanan menentang Kuala Lumpur Prefer-Cyberlynk dan Selangor MBSJ.