fb fb fb fb fb

Rizal terselamat daripada hukuman, FAM beri amaran keras

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Tonggak pertahanan Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali terselamat daripada dikenakan hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menolak pelawaan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyertai kem latihan pusat, baru-baru ini.

Sebaliknya FAM memberikan amaran keras kepada Mohd Rizal agar tidak mengulangi tindakannya yang enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan pada 14 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata surat amaran dikeluarkan agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan meskipun Mohd Rizal sudah menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

"Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang," kata beliau dalam kenyataan tersebut, hari ini.


(FOTO FAIL/FB SABAH FC)

Terdahulu, Mohd Rizal yang diletakkan dalam Senarai Bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta'zim, Mohd Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Berikutan keengganan Mohd Rizal untuk melapor diri, Pan Gon telah memanggil seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri pada 14 Mac 2022.

Media Baharu