SEPANG, 30 Mac - Menjelang Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok, Thailand yang bermula Sabtu ini.
Jurulatih Futsal Lelaki Kebangsaan, Chiew Chun Yong berharap gabungan enam muka baharu dan pemain senior dapat membentuk keserasian seawal perlawanan pertama menentang Kemboja.
Jelasnya, kebimbangan utamanya adalah kemampuan pemain mengadaptasi taktikal yang diterapkan dalam tempoh singkat.
Jelas Chun Yong, dua perlawanan persahabatan tempatan dihadapi pasukannya tidak cukup untuk menjadi kayu pengukur prestasi pemain.
"Sebagaimana yang kita tahu, perlawanan persahabatan antarabangsa dengan perlawanan persahabatan dalam negara berbeza corak permainan.
"Kepantasan dan intensiti memang agak berbeza itu yang menjadi kelebihan kepada kita. Namun saya positif dengan pengalaman, keinginan dan semangat yang ada pada pemain saya dalam AFF kali ini," katanya ketik a ditemui sebelum berlepas bersama pasukan Futsal kebangsaan ke Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Enam muka baharu yang dipanggil antaranya penjaring terbanyak Pulau Pinang dalam Liga Premier Futsal Malaysia, Iqhmal Najmie Ismail dan pemain Selangor TOT United, Muhammad Aidil Shahril Rosli.
Sementara itu, Kapten pasukan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin berkata, kesemua muka-muka baharu yang dipanggil sudah memahami apa yang diinginkan ketua jurulatih.
"Apa yang saya nampak, pemain-pemain baharu ini dapat cepat tangkaplah dengan apa yang jurulatih Yong punya taktikal, corak permainan semua tu.Harap bila kita di sana nanti pemain-pemain sudah bersedialah untuk mengharungi perlawanan di Thailand nanti," katanya.
Tambah Khairul, apa yang penting adalah kemampuan menyerap tekanan terutama ketika berdepan lawan sukar seperti Thailand dan Indonesia.