PARIS, 30 Mac - Portugal menewaskan Macedonia Utara 2-0 manakala Poland mengetepikan Sweden juga dengan jaringan 2-0 dalam aksi play-off Piala Dunia Qatar 2022 bagi Zon Eropah.
Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes menjaringkan kedua-dua gol Portugal untuk menundukkan pasukan negara Balkan itu yang menyingkirkan juara Euro 2020, Itali minggu lepas.
(Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak pusingan
pertama kelayakan Piala Dunia 2022 (Portugal-Macedonia Utara) di stadium Dragao di Porto pada 29 Mac 2022/AFP)
"Tahniah kepada semua pemain atas kualiti dan sikap positif yang dipamerkan. Kami dengan jelas berjaya mengawal permainan.
"Setelah memenangi Euro dan Liga Negara Eropah, kami mempunyai impian untuk membawa kegembiraan yang lebih besar ke Portugal,' kata pengurus Portugal, Fernando Santos.
Fernandes menjaringkan gol pertama pada minit ke-32, hasil umpanan ketua pasukan, Cristiano Ronaldo dan gol kedua pada minit ke-65 hasil hantaran penyerang Liverpool, Diogo Jota.
Sementara itu ketua pasukan Poland, Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50 untuk membolehkan pasukannya mendahului Sweden 1-0.
"Walaupun saya telah mengambil banyak sepakan penalti, sepakan kali ini adalah sukar. Tekanan hebat menyebabkannya menjadi sukar. Saya tahu sepakan ini sangat signifikan," kata Pemain Terbaik FIFA 2021 itu.
Gol kedua Poland dijaringkan pemain tengah, Piotr Zielinski pada minit ke-72.-AFP