fb fb fb fb fb

Pilih atlet yang terbaik untuk bawa cabaran negara - Ahmad Faizal

PUTRAJAYA, 30 Mac - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengingatkan pentadbir dan pemimpin sukan mengenai tanggungjawab untuk memilih atlet yang terbaik bagi membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Jelas Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kenyataan berkenaan merujuk kepada urusan pemilihan atlet-atlet yang diputuskan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Berdasarkan situasi terkini terdapat empat pelari pecut wanita yang berjaya menghasilkan catatan di bawah 12 saat dalam acara 100 meter dan selayaknya dipilih untuk membentuk gandingan kuartet 4x100 meter ke Sukan SEA Vietnam."

"Pelari berkenaan adalah Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat 11.62 saat, diikuti Nor Sarah Adi(11.89s), Azreen Nabila Alias (11.90s) serta Fatin Ilyana Mat Nayan dengan catatan 11.97 saat."

"Seharusnya prestasi terbaik pada masa kini menjadi ukuran utama untuk pemilihan atlet-atlet ini ke Sukan SEA nanti," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.


(FOTO FAIL/BERNAMA)

Beliau memahami bahawa untuk penyertaan atlet-atlet di bawah kategori B ke Sukan SEA Vietnam ditentukan Persatuan Sukan Kebangsaan.

Namun pemilihan tidak sepatutnya lari daripada prinsip bersandarkan kepada merit pencapaian.

Sekiranya Persatuan Sukan Kebangsaan mempunyai strategi-strategi tertentu di sebalik pemilihan seseorang atlet, ia seharusnya diperjelaskan kepada atlet dan umum untuk mengelakkan daripada salah faham dan timbulnya pelbagai spekulasi.

Media Baharu