fb fb fb fb fb

Jazeman mahu catat kejayaan pada ELMS 2022

(Pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar ketika ditemu bual media)

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar tekad mengulangi pencapaian di perlumbaan '4 Hours of Monza' tahun lepas, sekali lagi pada pusingan pertama kejuaraan European Le Mans Series (ELMS) 2022.

Jazeman akan bergandingan dengan dua nama besar antarabangsa, iaitu Rob Hodes dan Gabriel Aubry dalam kempen LMP2 yang dijadualkan membuka tirainya di Perancis 17 April ini.

Jazeman, Hodes dan Aubry akan membawa cabaran bersama pasukan Team Virage dalam kategori Pro-Am ELMS menggunakan jentera #51 Oreca 07.

"Saya sangat menantikan (perlumbaan) nya, ia akan menjadi grid yang sangat mencabar, 30 lebih kereta untuk kelas LMP2, saya mempunyai rakan sepasukan yang sangat kuat iaitu Gabriel, saya dan Rob, jadi Insya-Allah kami akan berjuang untuk mendapatkan keputusan yang terbaik," kata beliau ketika ditemui pada Majlis perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara Pesona Energy Sdn Bhd dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, di sini.


(Gambar fail)

Kali ini, Jazeman akan menyertai semusim penuh siri tersebut bermula dengan perlumbaan di Perancis sebelum ke Litar Imola, Itali pada 15 Mei.

Saingan seterusnya berlangsung di Hungaroring, Hungary pada Julai sebelum Barcelona menjadi venue seterusnya, 28 Ogos.

Disusuli saingan di Francorchamps, Belgium pada 25 September dan Litar Portimao, Portugal menjadi venue penutup musim, 16 Oktober.

Pada saingan tahun lepas di Litar Monza, Itali, pelumba berusia 29 itu turun selaku pelumba jemputan mewakili pasukan Jota Racing, melengkapkan 125 pusingan dengan catatan masa empat jam, satu minit dan 31.344 saat, untuk kedudukan ketiga.

Sebagai rekod, Jazeman juga pernah meraih pencapaian positif ketika penyertaannya di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), Asia Le Mans Series dengan berada di tempat ketiga pada 2021.

Media Baharu