fb fb fb fb fb

Play-off Piala Dunia, Poland enggan lawan Rusia

FOTO AFP

WARSAW, 26 Februari- Poland tidak akan bermain play-off Piala Dunia 2022 menentang Rusia di Moscow pada 24 Mac depan berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kata presiden persekutuan Bola Sepak Poland pada Sabtu.

Konflik dua negara itu telah memasuki hari ketiga sejak pemimpin Rusia Vladimir Putin melancarkan pencerobohan besar-besaran yang membunuh berpuluh-puluh orang, memaksa lebih 100,000 melarikan diri dari Ukraine dalam masa 48 jam sahaja dan mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih meluas di Eropah.

"Masa untuk bercakap sudah tamat. Sudah tiba masanya untuk bertindak. Disebabkan oleh peningkatan pencerobohan Persekutuan Rusia di Ukraine, pasukan Poland tidak bercadang untuk bermain play-off menentang Rusia," tulis Cezary Kulesza, sambil menambah ia adalah keputusan yang tepat.

Tiga persekutuan bola sepak mengeluarkan kenyataan bersama pada Khamis menuntut Fifa memindahkan play-off masing-masing dari Rusia.

Kapten Poland, Robert Lewandowski menerusi tweetnya pada Jumaat berkata dia akan berunding dengan rakan sepasukannya mengenai perlawanan itu.

"Keputusan yang betul!" tweet penyerang bintang Bayern Munich itu.

“Saya tidak boleh bayangkan bermain perlawanan dengan pasukan kebangsaan Rusia dalam situasi pencerobohan bersenjata di Ukraine berterusan.

"Pemain bola sepak dan peminat Rusia tidak bertanggungjawab untuk ini, tetapi kami tidak boleh berpura-pura tiada apa yang berlaku."

Fifa bagaimanapun tidak memberi sebarang reaksi terhadap tindakan terbaru Poland itu.- AFP

Media Baharu