fb fb fb fb fb

MUFC sasar kelompok tiga terbaik Liga Super dan menang satu piala bagi musim ini

KRUBONG, 26 Februari - Sekurang-kurangnya satu piala selain menduduki tempat ketiga Liga Super musim ini antara sasaran skuad bola sepak Melaka United FC (MUFC).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Seri Justin Lim, beliau yakin sasaran itu mampu digapai skuad tersebut yang berada di bawah kendalian jurulatih Risto Vidakovic.

Jelasnya, kemampuan jurulatih serta pengalaman para pemain mampu mencipta sejarah baru buat skuad itu.

"Saya rasa semua tahu mereka adalah profesional dan saya percaya mereka menghadapi kekangan masa tapi saya juga yakin mereka adalah profesional dan mampu menanganinya dan akan mengisi masa yang hilang itu. Jadi ia bukan satu perkara mustahil," kata Justin Lim ketika ditemui pada pelancaran jersi baharu MUFC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

(Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Seri Justin Lim yakin dengan kekuatan pasukan MUFC musim ini untuk mencapai misi yang disasarkan)

Dalam pada itu, menurut jurulatih MUFC, Risto Vidakovic, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya akan lebih fokus untuk membentuk satu pasukan yang kukuh.


Jelasnya, beliau tidak mahu para pemain tertekan dan hilang fokus ditambah dengan kekangan masa dalam menghadapi perlawanan Liga Super yang akan bermula pada Mac depan.

"Jadi saya tak suka untuk bercakap berkenaan apa yang akan jadi di masa hadapan. Saya bekerja setiap hari dan akan tengok bagaimana prestasi pasukan dan pada aksi akan datang. Apa yang penting, jika anda kerap berikan sasaran kami akan tertekan. Jadi lebih baik fokus kepada setiap perlawanan dan cuba untuk jadi lebih baik setiap hari," kata Risto Vidakovic kepada pemberita.


(Jurulatih MUFC, Risto Vidakovic ketika ditemu bual media selepas majlis pelancaran jersi baharu skuad Hang Tuah)

Semalam, MUFC berjaya menjulang piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka 2022 selepas menundukkan Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Media Baharu