ISKANDAR PUTERI, 26 Februari- Johor Darul Takzim (JDT) menepati ramalan apabila berjaya menjulang Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
Kejayaan tersebut berjaya menebus kembali dendam JDT atas kekalahan kepada KL City FC pada final Piala Malaysia musim lalu.
Skuad Harimau Selatan itu tampil agresif sejak awal babak pertama dengan gerakan berbahaya trio serangannya, Fernando Forestieri, Natso Insa dan Arif Aiman Hanapi.
Akhirnya, pada minit ke-26, JDT berjaya merobek gawang KL City FC menerusi tandukan Nazmi Faiz yang menarik umpanan menarik.
Empat minit kemudian, Fernando Forestieri melebar jaringan buat JDT untuk selesa mendahului 2-0 sebelum rehat.
KL City FC cuba bangkit di babak kedua, namun usaha skuad kendalian Bojan Hodak itu masih gagal menghalang Afiq Fazail meledakkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-84.
Ini merupakan kali ketujuh, skuad kendalian Benjamin Mora menjulang Piala Sumbangsih.
Ketua Jurulatih JDT itu berpuas hati dengan prestasi Forestieri yang menjaringkan gol pertamanya dalam liga Malaysia.
"Dia (Forestieri) beraksi dengan baik, dia membantu pasukan dan ini adalah sebab mengapa dia berada di dalam JDT serta menjadi pemain yang kami percayai," katanya.
Sementara itu, Forestieri menyifatkan aksi final tersebut begitu mencabar.
"Ini permainan pertama saya, sangat mencabar, kerana situasi ketika berlatih berlainan berbanding ketika bermain, tetapi saya ikut arahan jurulatih dan saya gembira berada di sini," katanya.