SINGAPURA, 26 Februari- Pesilat negara, Nur Syafiqah Hamzah menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 yang berlangsung di sini.
Syafiqah yang pernah meraih gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Asia 2019, menewaskan wakil tuan rumah, Siti Nazurah Md Yusoff dalam kategori Jurus Tunggal Putri dengan mata kemenangan 9.930 berbanding 9.895 diperoleh lawannya.
Kejayaan itu menurut Syafiqah akan menjadi pembakar semangat untuknya terus berusaha lebih gigih terutama memburu kilauan pingat dalam penyertaan di Sukan SEA Vietnam, pada Mei nanti.
"Ini satu permulaan bagi saya, menang kalah itu belakang kira tetapi saya hanya fikir untuk puaskan hati saya dan jurulatih, memandangkan sudah lama tidak keluar bertanding.
Saya hanya fikir untuk melakukan yang terbaik dan Alhamdulillah ia berhasil," katanya.
Dalam perlawanan seterusnya, pesilat wanita negara, Nor Farah Mazlan memastikan slot ke pentas final kategori Puteri A selepas menundukkan pencabar dari Vietnam, Vang Hong Phuong dengan keputusan 59-39.
Farah dijadual bertemu Nadhrah Sahrin dari Singapura yang menewaskan Dinda Nuraidha dari Indonesia 47-41 dalam perlawanan penentuan pingat emas, hari ini.