KUALA LUMPUR, 17 Mac- Sebanyak tiga pingat emas daripada 16 acara disertai menjadi sasaran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei ini.
Presiden PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata walaupun jumlah pingat disasarkan itu dilihat kecil, ia dianggap realistik selain dapat memberi keadilan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam penjumlahan keseluruhan pingat kontinjen negara pada temasya dwitahunan itu.
“Biarlah sasaran tidak tinggi namun yang penting kita boleh capai. Kita tidak mahu bermain dengan angka kerana PESAKA mesti adil kepada MSN yang akan buat perkiraan jumlah pungutan pingat secara keseluruhan nanti.
“Insya-Allah kita akan pastikan bawa balik tiga pingat emas untuk Malaysia namun sekiranya dapat lebih ia bonus bagi kami,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Megat Zulkarnain juga yakin bekas juara dunia antaranya Mohamad Hazim Amzad (C Putra), Mohd Al Juferi Jamari (F Putra) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (F Putri) menjadi taruhan PESAKA untuk merangkul tiga pingat emas itu.
“Saya yakin nama atlet yang disebutkan ini masih beraksi dalam kelas tersendiri, biarlah peratuan baharu atau lama saya percaya atlet berkenaan boleh dapat kerana mereka merupakan pesilat berpengalaman,” katanya.
Antara peraturan baharu diperkenalkan pada 2020 adalah seperti membenarkan membuat tumbukan ‘Superman’, tarik dan pukul, pukul di bahagian belakang vest, pukulan tangan belakang, lompat dan menyiku ke vest serta membuat kuncian, sekali gus menjadikan sukan silat lebih menarik ala mempertahankan diri campuran (MMA).
Daripada jumlah keseluruhan 22 atlet itu, Megat Zulkarnain berkata 10 daripadanya adalah atlet silat olahraga dan 12 lagi pesilat seni yang akan membawa cabaran Malaysia di Hanoi selain turut ditemani, masing-maising tiga pegawai dan jurulatih.
“Bagi silat olahraga, tujuh atlet bertanding di bawah kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) dan tiga bagi kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat) manakala silat seni pula menyaksikan tujuh di bawah kategori A serta lima di bawah kategori B,” katanya.
Sementara itu, Megat Zulkarnain mengingatkan atlet negara agar tidak memandang ringan tentangan sengit daripada tuan rumah Sukan SEA iaitu Vietnam serta Thailand berdasarkan pencapaian dilakar mereka pada Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 edisi kelapan di Singapura, bulan lepas.
Biarpun Vietnam dan Thailand tidak terlibat dalam penggubalan peraturan baharu silat, Megat Zulkarnain secara peribadi terkejut melihat ketangkasan serta kekuatan dipamerkan pesilat dari kedua-dua negara itu pada kejohanan di negara republik itu.
Dengan hanya berbaki dua bulan sebelum Sukan SEA ke-31 berlangsung, Megat Zulkarnain mengakui masa agak singkat bagi barisan pesilat negara membuat persediaan dan berharap agar mereka dapat meningkatkan intensiti latihan pada Ramadan ini.- BERNAMA
(Datuk Megat Zulkarnain Omardin anggap sasaran pingat di Sukan Sea Vietnam adalah realistik dengan meletakkan sandaran kepada atlet senior)