KUALA LUMPUR, 26 September - Calon tunggal mewakili Radio Televisyen Malaysia (RTM), DJ Sonic sekali lagi masuk dalam kelompok 20 Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 37.
Mengulas pencalonannya, pembawa nama Awang Suffian Awang Hussein, 46 menyifatkan tahun ini sekali lagi memberi cabaran besar apabila perlu bersaing dengan nama-nama besar industri yang mempunyai jumlah pengikut jauh lebih ramai.
“Memang sangat mencabar sebab saya bersaing dengan nama-nama besar yang punyai pengikut ramai. Cuma saya yakin setiap daripada kami ada keistimewaan masing-masing.
"Kelebihan saya mungkin sebab saya merupakan DJ Nasional FM dan ada rakan DJ RTM yang ramai sentiasa menyokong, 34 stesen radio... bayangkan kalau semua bergabung, mana tahu tahun ini RTM cipta sejarah! Mudahan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, tanggungjawab sebagai wakil tunggal RTM memberi makna besar kerana kategori yang dipertandingkan bergantung sepenuhnya kepada undian orang ramai, berbeza dengan kategori terbaik, ia ditentukan oleh juri profesional.
“Wakil tunggal ini amat berat tanggungjawabnya. Untuk kategori Popular, undian sepenuhnya oleh orang ramai. Jadi saya kena lebih menonjol agar masyarakat tahu kewujudan saya dalam bidang ini.
“Dua siri pertandingan sebelum ini banyak ajar saya bagaimana untuk letakkan diri bersama mereka yang punyai nama besar,” jelasnya.
Menurut anak kelahiran Kapit, Sarawak itu, barisan calon lain bukan asing baginya, malah sebahagiannya pernah sam-sama bersaing pada edisi terdahulu.
“Nama besar! Saya tak terkejut sebab sebahagian mereka pernah bersaing bersama saya tahun 2023 dan 2024. Rezeki saya, dua kali berada dalam kedudukan Top 5. Saya percaya keunikan itulah yang jadi kelebihan seseorang.
“Saya juga bertuah sebab satu-satunya calon DJ kerajaan. Pendengar Radio RTM pun semakin meningkat, termasuk di luar negara. Tahun ini, radio RTM berada di kedudukan 30 terbaik dunia.
“RTM julung kali dalam senarai 30 radio terbaik global menerusi WCM Global Ranker yang dikendalikan Triton Digital. Bayangkan, kita dah mendunia! Tak mustahil saya boleh menang, berangan itu percuma kan,” katanya sambil ketawa.
DJ Sonic turut mengungkapkan rasa syukur atas sokongan berterusan pendengar serta peluang kerjaya yang terbuka luas selepas dua tahun berturut-turut menempatkan diri dalam senarai teratas.
“Harapan saya, nak bawa jenama saya sendiri. Tercalon Top 5 dua tahun berturut-turut sebenarnya buka ruang rezeki saya. Banyak peluang datang, tanpa henti. Saya sangat bersyukur,” katanya.

DJ Sonic
Bagi DJ Sonic, kemenangan bukanlah ukuran tunggal, sebaliknya pengiktirafan itu sudah cukup besar maknanya.
“Harapan saya pasti nak menang. Kalau tercapai, itu rezeki Allah. Kalau tak kesampaian pun tetap rezeki! Saya tak akan menyesali kekalahan sebab daripada beratus DJ radio RTM, saya satu-satunya tercalon.
“Kalau kalah pun, saya masih penyampai radio popular RTM 2025,” katanya dalam nada berseloroh.
Dalam pada itu DJ Sonic turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong dan pengundi yang tidak putus-putus memberikan undian.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi baharu saya – Pengundi 3 Suara, Geng Tapping, pendengar setia NasionalFM dan semua rakan-rakan saya,” ujarnya.
Menariknya kali ini, fenomena luar jangka turut berlaku apabila kumpulan peminat artis popular Fazura turut membentuk pasukan bagi menyokong pencalonannya.
“Satu fenomena pada awal pengundian ini, saya menerima sokongan pengundi-pengundi peminat Fazura! Allah... memang tak sangka. Mereka buat satu pasukan untuk mengundi saya dan Fazura. Ini betul-betul luar jangkaan saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Selain DJ Sonic, turut tersenarai dalam kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 37 ialah AG, Ajak Shiro, Cik Piah, DJ Lin, DJ Naz, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Fizi, Haiza, Haniff Hamzah, Hefny Sahad, Issey, Johan, KJ, Mat Dan, Muaz Mohamed, Munaabella, Radin dan Sharifah Shahira.
Pada edisi ABPBH 36, Penyampai Radio Popular menjadi milik KJ. Pada edisi itu, DJ Sonic turut bersama-sama calon lain iaitu Haiza, Sharifah Shahirah dan Tyzo.
Untuk rekod pengemudi segmen Nasional Pagi, 3 Suara, di NasionalFM bersama-sama dua lagi penyampai DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai itu juga pernah berada dalam senarai lima Penyampai Radio Popular, iaitu pada edisi ke 35 dan 36.
Undian bagi kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 37 boleh dilakukan menerusi pautan https://www.abpbh.com.my/undian/main/penyampai-radio-popular.
Mampukah calon tunggal RTM, DJ Sonic sekali lagi bolos dalam kumpulan 5 terbaik? Sama-sama kita saksikan. Tarikh akhir undian ABPBH 37 pada 9 November depan pukul 11.59 malam.
ARTIKEL BERKAITAN :
- Pendengar bangga kejayaan Radio RTM disenarai 30 Radio Terbaik Dunia
- DJ Sonic bersyukur lakukan yang terbaik untuk ABPBH 36
- Tuah berganda, DJ Sonic antara lima Penyampai Radio Popular
- Fasa akhir ABPBH 36, DJ Sonic teruskan kempen
- ABPBH 36 : DJ Sonic antara 36 calon terima undi tertinggi
- Calon ABPBH 35, DJ Sonic punya aura tersendiri