KUALA LUMPUR, 17 Mac- Pemain tengah Zhafri Yahya, yang kali pertama mendapat panggilan menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya, tidak mahu mensia-siakan peluang keemasan yang dinanti-nantikannya itu.
Pemain Kuala Lumpur City (KL City) FC itu, bertekad untuk membuktikan kemampuannya kepada barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan Gon, serta membalas kepercayaan diletakkan oleh peminat terhadapnya.
Pemain berusia 27 tahun kelahiran Selangor itu bagaimanapun mengakui, beliau mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan corak permainan diterapkan Pan Gon.
“Menjadi impian saya beraksi untuk Harimau Malaya sejak menyertai KL City (pada 2016). Apabila berada di bawah kendalian Bojan Hodak, beliau beri saya banyak ruang dan peluang untuk saya buktikan kemampuan, akhirnya saya berjaya membuktikannya kepada beliau dan pasukan.
“Selepas dua hari latihan, saya rasa cara kendalian latihan Pan Gon lebih kurang sama dengan Bojan. Pencapaian pertama ingin berada dalam skuad Harimau Malaya, kedua saya ingin sekurang-kurangnya dapatkan minit permainan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Zhafri yang pada awalnya diletakkan dalam senarai menunggu, dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya pada Selasa, untuk menggantikan penyerang Petaling Jaya City (PJ City) Darren Lok, yang positif COVID-19.
Malaysia dijadual berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, sebelum menentang pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.
(Zhafri dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya untuk menggantikan penyerang PJ City Darren Lok, yang positif COVID-19)