fb fb fb fb fb

Sukan SEA Vietnam : Skuad silat negara buat rombakan susulan peraturan baharu

(Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin bercakap pada sidang media khas skuad silat negara)

KUALA LUMPUR, 18 Mac - Peraturan baharu silat olahraga nyata memberi kesan mendalam kepada persediaan skuad silat negara untuk ke Sukan SEA di Vietnam Mei ini, selain kejohanan dunia yang akan berlangsung selepas itu.

Justeru mengambil iktibar dari pencapaian negara di Kejohanan Silat Asia Tenggara di Singapura Februari lepas, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) membuat rombakan besar, menggugurkan beberapa nama, dan menyenaraikan sembilan nama baharu.

Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata dalam kejohanan silat Asia Tenggara di Singapura yang berlangsung 22 hingga 28 Februari lalu, skuad silat negara sekadar merangkul 2 emas, jauh dari jangkaan awal untuk membawa pulang lebih dari itu.

Ia susulan dari peraturan baharu silat olahraga, yang memberi kesan kepada prestasi dan pencapaian pesilat Malaysia ketika bertanding.

Oleh itu baru-baru ini PESAKA membuat pemilihan semula secara tertutup, agar hanya yang terbaik dan pasukan yang mantap dapat disediakan ke Sukan SEA nanti.


(Gambar fail)

"Saya tahu dua bulan bukan satu masa yang panjang tapi kita dapat lihat ada beberapa pesilat baru ini ada kemampuan untuk kita tonjolkan kerana mereka telah mahir dengan peraturan baru yang dikemukakan, jadi mudah-mudahan dengan adanya pasukan yang baharu ini, pasukan baharu yang segar, gabungan antara lama dan baharu, kita boleh bagi saingan," katanya dalam sidang media khas skuad silat, di sini.

Megat Zulkarnain turut memberi jaminan pasukan silat akan memastikan kilauan emas dibawa pulang dari Vietnam seperti edisi-edisi Sukan SEA sebelum ini.

Media Baharu