LOS ANGELES, 30 September - Pelakon pemenang Oscar, Nicole Kidman dan bintang muzik country, Keith Urban dilaporkan berpisah selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga, menurut beberapa media antarabangsa.
Pasangan selebriti itu difahamkan mula tinggal berasingan sejak awal musim panas, dengan Urban berpindah keluar dari kediaman keluarga di Nashville, Tennessee, dan menetap di rumah baharunya, lapor portal TMZ.com yang mula mendedahkan berita berkenaan.
TMZ dan majalah People turut melaporkan Kidman pada awalnya menolak perpisahan tersebut dan berusaha mempertahankan rumah tangga mereka.
Kidman, 58, dan Urban, 57, memulakan kerjaya masing-masing di Australia serta memiliki dwi-kerakyatan Amerika Syarikat dan Australia. Mereka bertemu pada Januari 2005 di sebuah acara Hollywood bagi mempromosikan Australia, sebelum melangsungkan perkahwinan pada Jun tahun berikutnya di Sydney.
Pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan, Faith Margaret, 14 tahun, dan Sunday Rose, 17 tahun. Kidman turut mempunyai dua anak angkat hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Tom Cruise.
Kidman yang pernah meraih Anugerah Akademi menerusi watak Virginia Woolf dalam filem The Hours, kali terakhir berkongsi gambar bersama Urban di media sosial pada Jun lalu sempena ulang tahun perkahwinan mereka, menurut The Hollywood Reporter (THR).
Sementara itu, THR turut melaporkan Urban memuat naik gambar terakhir bersama Kidman pada Mei lalu selepas menghadiri Anugerah Muzik Country Akademi 2025, di mana beliau menerima anugerah ACM Triple Crown.
Kidman pada awal bulan ini baru sahaja menamatkan penggambaran sekuel filem Practical Magic bersama Sandra Bullock, manakala Urban kini sedang menjalani siri jelajah sejak Mei bagi mempromosikan album High. -REUTERS