KUALA LUMPUR, 28 September- Malam Kemuncak Bintang Klasik 2025 menyaksikan Sitara Hakimi dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan lima finalis lain menerusi persembahan bertenaga yang memukau juri dan penonton di Auditorium Sri Angkasa, malam tadi.
Hakimi, 33 tahun berkata, kemenangannya adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana persaingan sengit di pentas akhir.
“Saya sangat-sangat tak jangka sebenarnya. Semua peserta sangat hebat-hebat.
Mungkin ini rezeki anak saya. Alhamdulillah, saya bersyukur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Malam Kemuncak Bintang Klasik 2025, di sini, malam tadi.
Beliau juga bertekad untuk terus mengembangkan kerjaya nyanyian di pelbagai platform selepas kejayaan itu.
Naib juara pertandingan menjadi milik Sitara Azmirul, manakala Syaimaa meraih tempat ketiga.
Tiga lagi finalis, Ikmal, Saiful dan Ranisha, masing-masing menerima hadiah saguhati.
Bagi Ranisha, 25 tahun, yang berasal dari Labuan, peluang mara ke pentas akhir disifatkan satu pencapaian besar meskipun pertama kali menyertai pertandingan berprestij itu.
“Pengalaman ini sangat berharga untuk saya dan keluarga. Lagu-lagu klasik ada keunikan tersendiri dari segi melodi dan susunannya.
Saya harap lebih ramai anak muda mendengar dan menghargai muzik klasik,” ujarnya.
Pertandingan anjuran RTM itu menampilkan enam finalis dengan format gabungan persembahan solo dan segmen ‘battle’.
Ia sekali gus membuktikan irama klasik tanah air terus relevan dan segar di pentas generasi baharu.
Acara gilang-gemilang itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.