fb fb fb fb fb

PARAXNORMAL: Filem seram komedi, sarat pengajaran

Filem PARAXNORMAL akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini.

KUALA LUMPUR, 26 Ogos- Filem seram komedi, PARAXNORMAL menggabungkan elemen seram, psikologi, komedi gelap serta konflik persahabatan, menjadikannya naskhah berbeza berbanding karya sedia ada.

Filem berkisarkan kisah empat sahabat karib yang tanpa sengaja terjerat dalam pelbagai peristiwa menyeramkan ketika cuba merompak sebuah vila misteri dan berhantu, namun menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta.

Antara barisan pelakon hebat yang ditampilkan iaitu Joey Daud, Azhan Rani, Epy Kodiang, Amir Nafis, selain dibantu oleh Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusof.

Menurut penerbit, Nurul Ain Nordin, Paraxnormal bukan sekadar paparan kisah makhluk ghaib semata-mata, sebaliknya menelusuri sisi gelap sifat manusia seperti ketamakan, dendam dan pengkhianatan.

“Ilham untuk naskhah ini muncul secara tidak dijangka sewaktu sesi perbualan santai bersama sahabat saya, pelakon dan penulis skrip Epy Kodiang yang juga membintangi filem ini."

Maka, kami percaya genre ini masih mempunyai peminat tersendiri dan akhirnya tercetuslah idea untuk menghasilkan Paraxnormal yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membawa mesej mendalam,” ujar Ain.

Sementara itu, pelakon utama, Joey Daud meluahkan rasa terharu apabila karya asal bermula sebagai super tele, akhirnya berjaya diangkat menjadi filem selepas hampir dua tahun penggambaran.

“Saya benar-benar terharu dengan hasil yang dicapai. Filem ini adalah sebuah popcorn movie yang ringan, santai dan mudah diterima penonton. Namun begitu, mesejnya tetap sampai kepada audiens.”

Beliau turut menekankan mesej utama filem ini yang dekat dengan jiwa penonton.

“Mesejnya mudah. Kita harus menghargai nilai persahabatan dan memahami perbezaan antara kawan dan sahabat. Filem ini menggambarkan bagaimana kami sebagai sahabat bersatu hati meskipun berdepan dengan perkara di luar jangkaan. Itulah hakikat kasih sayang dalam persahabatan.”

Joey menambah, karya itu lahir dengan penuh keikhlasan.

“Ia adalah sebuah karya yang lahir daripada kasih sayang dan nilai kemanusiaan. Ia juga membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakan dalam industri.”

Sementara itu, Azhan Rani menganggap kekuatan utama filem ini terletak pada genre uniknya.

“Genre seram biasanya berat untuk diterima, namun dalam Paraxnormal, elemen komedi digabungkan sekali gus menjadikannya lebih ringan dan menghiburkan.”

Azhan turut berkongsi pengalaman lucu di sebalik tabir.

“Antara pengalaman menarik ialah ketika penggambaran babak di tangga sewaktu watak hantu tiba-tiba ‘pengsan’. Adegan tersebut mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana pelakon yang membawa watak hantu tidak mampu menahan ketawa gara-gara aksi Joey.

Malah, ada juga saat di mana Ellie Suriaty sendiri tidak dapat fokus daripada karakter kerana tidak mampu menahan gelak. Joey benar-benar mencuit hati hingga membuatkan suasana di set bertukar gamat.” katanya sambil ketawa.

Filem PARAXNORMAL akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM