fb fb fb fb fb

Balan Kash terjemah mesej perpaduan dalam MV “Cekap”

Balan Kash

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Bersempena sambutan bulan kemerdekaan, penyanyi rap dan penulis lirik tempatan, Balan Kash, tampil dengan video muzik (MV) rasmi terbaharu berjudul Cekap terbitan Balan Kash Entertainment.

Karya tersebut memperlihatkan sisi baharu dirinya sebagai artis serba boleh, selain menyatukan kisah kebanggaan dan identiti Malaysia dalam sebuah naskhah penuh makna.

Lebih membanggakan, Balan Kash turut menerima pencalonan bagi kategori “Lagu Hip-Hop Terbaik” menerusi dua buah lagu di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sekali gus menambah deretan pencapaian dalam karier muziknya.

Lagu Cekap, yang juga judul album penuh pertamanya dalam bahasa Melayu, menampilkan gabungan unik hip-hop moden, muzik klasik India dan nuansa tradisional Malaysia. Perkataan “cekap” dalam slang tempatan yang membawa maksud tajam atau 'on-point' dijadikan simbol keberanian serta keyakinan dalam menyuarakan sesuatu yang dekat di hati rakyat.

Bagi Balan Kash, karya ini membawa mesej lebih besar daripada sekadar hiburan, iaitu mengingatkan bahawa selepas lebih 60 tahun merdeka, rakyat Malaysia tetap berkongsi semangat perpaduan di sebalik kepelbagaian kaum, bahasa dan budaya.

MV Cekap arahan Kinggolddigga pula tampil dengan visual penuh simbolik mengenai identiti dan perpaduan. Ia dimulakan dengan adegan tradisional Dikir Barat yang menampilkan Balan Kash berdiri di tengah-tengah bulatan pemuzik, sebagai lambang gabungan warisan budaya dengan gaya kontemporari.

“Saya mahu bermula dengan sesuatu yang melambangkan Malaysia. Dikir Barat dekat dengan hati kita semua, dan saya percaya muzik moden boleh hidup bersama tradisi dengan harmoni,” katanya.

Balan Kash menegaskan karya tersebut cukup peribadi dan lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri.

“Bagi saya, Cekap bukan hanya sebuah lagu, tetapi cerminan semangat Malaysia yang saya bawa sejak kecil. Saya dibesarkan di Klang, di tengah masyarakat majmuk yang penuh warna-warni. Dari situ saya belajar bahawa kekuatan kita datang apabila kita semua bersatu, bukan bila kita berpecah. Itulah roh sebenar yang saya mahu zahirkan dalam MV ini,” ujarnya penuh semangat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE