fb fb fb fb fb

Konsert "Ini Jiwa, Ini Identiti" satukan generasi seni

Seni menyatukan pelbagai bangsa dan generasi / Foto SELANGORfm

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Konsert "Ini Jiwa, Ini Identiti" bersempena ulang tahun ke-35 Selangor FM berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 20,000 penonton pada Sabtu lalu.

Antara barisan artis yang menyerikan pentas termasuklah Dato’ Awie, Amelina, Ruffedge, Bella Astillah, Santesh, Coco, Junjun dan Cherry On.

Menampilkan artis daripada pelbagai generasi, konsert ini sekali lagi membuktikan bahawa seni muzik berupaya merentas zaman serta menyatukan khalayak.

Ahli kumpulan Ruffedge, Sein, ketika ditemui berkata, “Ini kali pertama kami membuat persembahan untuk Selangor FM, dan itu sendiri sudah menjadikannya sesuatu yang istimewa. Kami berbesar hati dapat bersama-sama memeriahkan sambutan ini, insya-Allah.”

Mengulas mengenai kekuatan Ruffedge yang masih teguh bersama, beliau menambah, “Bagi kami, yang utama ialah menjaga hubungan persaudaraan dan persahabatan. Urusan kerja datang kemudian. Sebagai orang Islam dan juga sahabat, menjaga silaturahim itu lebih penting.”

Begitu juga muzik berunsur keagamaan yang dapat menyatukan penganutnya. Kini, lagu kenegaraan seperti 31 Ogos dan Saya Anak Malaysia menjadi medium penyatuan yang boleh dinikmati semua kaum, insya-Allah.”

Sementara itu, seorang lagi anggota Ruffedge, Azan, berpendapat seni memainkan peranan besar dalam menyemarakkan perpaduan.
“Muzik ialah bahasa sejagat. Lagu-lagu patriotik, khususnya berkaitan kemerdekaan, terbukti mampu menyatukan semua bangsa. Apabila seorang mula menyanyi, yang lain akan turut serta.

Penyanyi dangdut popular, Amelina atau mesra disapa Kak Long, pula menyifatkan radio sebagai medium penting dalam membina karier seni.
“Bagi Kak Long, peranan radio sangat besar. Ia menjadi platform penting yang menyumbang kepada kejayaan setiap artis. Radio merentasi sempadan dan sampai ke seluruh pelosok negeri.

Lebih-lebih lagi Selangor FM – alhamdulillah, walaupun Kak Long kini menetap di Selangor, lagu-lagu Kak Long masih diputarkan dan terus mendapat tempat di hati pendengar. Terima kasih Selangor FM kerana terus menyokong penyanyi lama.”

Ikon rock tanah air, Dato’ Awie, yang sudah empat dekad bertapak dalam industri muzik, turut meluahkan rasa syukur. “Saya sendiri tidak sangka boleh bertahan sejauh ini. Tahun ini genap 40 tahun, dan kami akan menganjurkan konsert 40 Years Celebration Wings. Terima kasih kepada semua yang terus memberikan sokongan.”

Tambahnya lagi, “Saya percaya seni adalah hiasan atau teman di kala suka dan duka. Saat berduka, sedih atau gembira, pasti ada alunan suara yang menghibur dan meriangkan hati. Bagi saya, seni dan manusia tidak boleh dipisahkan.”

Konsert "Ini Jiwa, Ini Identiti " bukan sekadar hiburan, tetapi turut menjadi simbol bahawa seni mampu menyatukan pelbagai bangsa dan generasi, selaras dengan semangat yang diangkat Selangor FM.

HASRON BIN HASSAN