KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Penyanyi bersuara lunak dari Sabah, Jaclyn Chia bersama penyanyi rap, Yunk G, tampil dengan single duet terbaharu berjudul "Redam".
Dicipta oleh Shaiffulhan Saidin dengan lirik oleh D’Laila, "Redam" hadir sebagai sebuah balada introspektif yang menggabungkan elemen akustik dan rap.
Single terbabut membawa pendengar menyelami kedalaman emosi tentang luka, keperitan, dan usaha meredam rasa yang tidak terucap.
Menurut Jaclyn, lagu itu merupakan penceritaan melalui muzik tentang pergolakan dalaman individu yang berdepan kehilangan dan trauma emosi, namun tetap memilih untuk bangkit.
“Lagu ini sangat sayu dan peribadi buat saya. Ia seperti menulis surat kepada diri sendiri yang sedang terluka, tetapi masih cuba untuk terus hidup,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, menurut komposer Shaiffulhan, karya berkenaan mampu menyentuh jiwa pendengar.
“Suara indah Jaclyn disatukan dengan rap padu Yunk G, membentuk sebuah lagu yang menyentuh perasaan dan meredam luka,” jelasnya.
Yunk G pula berkata beliau mahu mengetengahkan perspektif individu yang sering menyembunyikan luka kerana bimbang dilihat lemah.
“Saya percaya muzik harus bercakap jujur. Dalam "Redam", saya mahu membawa suara mereka yang kerap menyembunyikan kesakitan kerana takut dianggap lemah,” ujarnya.
Single "Redam" direalisasikan dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Dana Kandungan Kreatif sebagai tanda dorongan terhadap karya asli anak tempatan.
"Redam" kini boleh distrim di semua platform digital.