LOS ANGELES, 26 Ogos - Pemenang anugerah Grammy, Lil Nas X mengaku tidak bersalah di Mahkamah Los Angeles semalam atas empat pertuduhan feloni selepas didakwa menyerang anggota polis yang menghampirinya ketika ditemui berkeliaran hanya memakai pakaian dalam di jalan raya bandar itu.
Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak AS$75,000 dan mengarahkan penyanyi lagu Old Town Road itu menghadiri sesi kaunseling dadah (Narcotics Anonymous). Ini kerana, polis percaya Lil Nas X berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.
Namun, peguamnya Christy O’Connor menegaskan artis berusia 25 tahun itu tidak mengambil dadah terlarang dan insiden tersebut dianggap satu episod luar biasa dalam hidupnya.
Lil Nas X, atau nama sebenarnya Montero Lamar Hill, berdepan tiga pertuduhan menyerang anggota polis dan satu pertuduhan menghalang tugas polis.-REUTERS