KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Penyanyi baharu yang semakin menyerlah, Isa Azry, kini tampil dengan single sulung berjudul 'Nadhif', sebuah balada penuh emosi yang menyentuh kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.
Lagu ciptaan bersama Jeremy Erskine, Amyr Abadawn dan Magix Mpire ini diterbitkan di bawah naungan Luncai Emas Sdn. Bhd.
'Nadhif' mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita sejak zaman remajanya hingga menjadi tunjang keluarga, sebuah penghormatan buat seluruh ibu yang mencintai dalam diam dan berkorban tanpa keluhan.
Ketika berbicara tentang pelancaran karya pertamanya, anak kelahiran Perak ini meluahkan rasa syukur.
“Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan lagu ini. Dengan penuh rendah hati saya berbesar hati mengucapkan penghargaan kepada Luncai Emas kerana menerima karya ini,” ujar Isa.
Single 'Nadhif' dirakam di Exuism Record, Singapura dan diterbitkan oleh Amyr Abadawn serta Magix Mpire. Walaupun masih baharu, Isa berjaya menyampaikan lagu ini dengan penuh penghayatan dan keikhlasan.
Dengan susunan muzik lembut serta vokal yang meresap ke jiwa, 'Nadhif' menggambarkan kerinduan dan rasa syukur seorang anak merupakan sebuah peringatan bahawa kasih seorang ibu itu kekal abadi.
Muzik video rasmi Nadhif kini boleh distrim di semua platform digital.