(Foto fail diambil pada 29 Januari 2015 ketika Nick Carter menghadiri tayangan perdana Gravitas Ventures
"Backstreet Boys: Show 'Em What You're Made Of" di Hollywood/AFP)
LOS ANGELES, 11 Disember- Anggota kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa merogol seorang remaja perempuan kurang upaya (OKU) berusia 17 tahun pada 2001.
Mangsa dikenali sebagai Shannon Shay Ruth, 39, menghidap penyakit Cerebral Palsy, mendakwa Carter memanggilnya selepas sesi bertemu peminat di sebuah konsert sebelum dibawa menaiki sebuah bas jelajah di Tacoma, Washington.
Dalam kejadian tersebut, Ruth mendakwa Carter memberinya sejenis minuman beralkohol yang dinamakan sebagai jus VIP dan dipaksa melakukan hubungan seks.
Ruth berkata, dia mengambil masa lama untuk membuat laporan polis kerana bimbang Carter akan menggunakan populariti dan kuasa sebagai selebriti untuk membebaskan diri daripada tuduhan berkenaan.
"Carter mencengkam dan mencederakan lengan mangsa dan menjerit 'terencat' sambil berkata tidak ada sesiapa yang akan percaya kepada mangsa," menurut peguam Ruth, Mark Boskovich dalam sidang akhbar di sini.
Ruth yang juga menderita penyakit autisme turut mendakwa dia terkena jangkitan kuman akibat hubungan kelamin yang dilakukan dengan penyanyi berusia 42 tahun itu.
"Walaupun saya autistik dan hidup dengan cerebral palsy, kehidupan saya amat terkesan dengan apa yang Carter lakukan dan katakan kepada saya," kata mangsa. -AFP
(Nick Carter membuat persembahan di iHeartRadio Z100's Jingle Ball 2022
pada 9 Disember 2022 di New York/AFP)