KUALA LUMPUR, 19 Julai – Kumpulan Kugiran Masdo telah membanggakan Malaysia dengan menjayakan Playtime Festival di Ulan Bator, Mongolia pada 3 hingga 5 Julai lalu dan seteruskan mereka ke Busan , Korea Selatan bagi persembahan di Round Festival (ASEAN Korea Music Festival) dari 6 hingga 10 Julai.
Masdo yang terdiri dari Ali Sariah (penyanyi), Putu Ceri (bass) dan juga Asmawi (gitaris) berkata mereka berasa bersyukur dan teruja dengan semua persembahan yang dilakukan di Mongolia dan Korea Selatan.
“Walaupun penat, ia tidak mematahkan semangat kami untuk membuat persediaan di kedua-dua negara ini, iaitu Mongolia dan Korea Selatan, malah kami lebih fokus untuk memberi impak dalam persembahan dan mencari kelainan dengan membuat rujukan dari persembahan artis-artis terkenal antarabangsa, melihat bagaimana mereka mengelola pentas yang besar," kata ahli kumpulan Masdo.
Walaupun berlainan bahasa, penonton tetap terhibur melayani persembahan yang diberikan oleh Masdo.
Bagi persembahan di Round Festival, Korea, Masdo menerima jemputan eksklusif dari Korean Broadcasting System (KBS) dan mewakili Malaysia di antara 11 negara ASEAN yang turut dijemput.
Penyertaan Masdo di kedua-dua festival mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
“Masdo telah berjaya membawa nama Malaysia ke ‘platform’ antarabangsa di Korea Selatan, dan gaya unik mereka memberi tumpuan terhadap tenaga kerja artistik negara kita. Teruslah membuat negara bangga, syabas," katanya.
Setibanya kumpulan Masdo di tanah air, mereka sudah merencanakan beberapa projek untuk tahun 2025, di antaranya sebuah album penuh sempena ulang tahun penumbuhan mereka yang ke-10, yang akan disusuli dengan siri jelajah di serata Malaysia, Singapura dan Indonesia.