KUCHING, 12 April- Rekod tanpa kalah Kelantan FC dalam kempen Liga Premier musim ini akhirnya lebur selepas tewas 2-1 kepada Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, semalam.
Pada aksi tersebut, Kuching City yang dibimbing jurulatih Irfan Bakti Abu Salim lebih banyak menguasai permainan.
Tuan rumah akhirnya meraih gol pembukaan hasil jaringan Abu Kamara pada minit ke-26 hasil sepakan sudut yang diambil oleh Alif Hassan.
(Aksi pemain Kuching City selepas berjaya meledakan gol pertama, semalam)
Namun, kegembiraan Kuching City tidak bertahan lama apabila Kelantan menyamakan kedudukan menerusi tandukan kapten, Yusri Yuhasmadi enam minit kemudian.
Bersambung babak kedua, tuah ternyata memihak Kuching City yang meraih gol kemenangan menerusi Shafizi Iqmal pada minit ke-66.
Kekalahan tersebut bagaimanapun tidak mejejaskan kedudukan Kelantan di tangga teratas dengan sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan.