fb fb fb fb fb

Konsert Siti Nurhaliza & Judika pukau 24,000 penonton

Penampilan Judika dan Siti Nurhaliza dalam Konsert 'The Journey of Sound: Datuk Seri Siti Nurhaliza & Judika' di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi/RTM

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Konsert 'The Journey of Sound: Datuk Seri Siti Nurhaliza & Judika' di Stadium Merdeka di sini malam tadi berjaya menghimpunkan seramai 24,000 penonton yang tampil mengikut tema "putih dan denim."

Konsert berskala besar yang menampilkan Biduanita Negara itu menyajikan lebih 30 buah lagu secara solo dan duet bersama Judika termasuk rangkaian medley lagu hits mereka.

Siti Nurhaliza dan Judika turut membuat kejutan dengan diarak menaiki kereta mewah mengelilingi stadium sebelum memulakan persembahan.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Aku Cinta Padamu, Kesilapanku Keegoanmu, Hati Kama, Seindah Biasa, Hati Yang Tersakiti, dan Hal Hebat, selain irama rancak seperti Nirmala dan Balqis.

Persembahan pembukaan oleh Faizal Tahir turut mencuri perhatian dengan tiga lagu popularnya sebelum paduan suara Siti dan Judika memukau penonton.

Selain itu, persembahan diserikan dengan pertunjukan bunga api dan pencahayaan daripada Menara Merdeka 118, memberikan pengalaman yang tidak terlupakan kepada penonton.

Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa teruja melihat sambutan peminat dan memberi bayangan akan menganjurkan konsert solo berirama Malaysia pada tahun hadapan.

SITI AISHAH MD ISA