fb fb fb fb fb

Konsert Legasi P. Ramlee: Merentas masa, menyatu generasi

Poster Konsert Legasi P. Ramlee

KUALA LUMPUR, 23 Jun- Konsert Legasi P. Ramlee akan berlangsung pada 20 September depan di Mega Star Arena ibu negara merupakan inisiatif bawah Projek Perdana P. Ramlee yang diterajui Datuk Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie, sebagai penghargaan terhadap warisan seni agung Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee.

Sidang media pelancaran memperkenalkan barisan artis dan maestro muzik terkemuka yang bakal menjayakan konsert berskala besar ini, sebagai tanda penghormatan kepada legasi dan kecemerlangan seni Melayu yang pernah digerakkan oleh P. Ramlee dan zamannya.

Konsert ini menjanjikan pengalaman persembahan unik dan dramatik yang menggabungkan unsur klasik, kontemporari dan popular dalam gaya teatrikal dan sinematik.

Lebih 30 karya agung P. Ramlee akan dihidupkan oleh 60 pemuzik orkestra bawah pimpinan empat maestro tersohor, Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen.

Lagu-lagu popular allahyarham akan dipersembahkan dalam bentuk medley, duet dan solo, baik dalam susunan asal mahupun nafas baharu, sambil mengekalkan keasliannya dan memberi kesan segar kepada pendengar.

Barisan artis yang akan menyanyikan lagu pada konsert berkenaan termasuk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera dan Liza Hanim.

Turut membuat persembahan istimewa ialah tiga figura sinonim dengan P. Ramlee iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee yang akan membawa penonton menelusuri era klasik penuh nostalgia menerusi interpretasi unik mereka sebagai impersonator unggul.

Datuk Khairul Anwar Salleh, menyatakan pelancaran konsert itu sebagai fasa kedua Projek Perdana P. Ramlee selepas Legasi Podcast pada September 2024.

"Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita," katanya.

Sementara itu, Pengarah Artistik Konsert Legasi P. Ramlee, Adlin Aman Ramlie berkata, konsert mengimbau kenangan ini pastinya membuai jiwa dan perassan penonton.

"Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat figura maestro muzik tersohor.

"Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi, tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman selain mengimbau kenangan," katanya.

Tiket konsert akan mula dijual pada Jumaat, 27 Jun secara dalam talian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI