KUALA LUMPUR, 23 Jun- Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tanah air, kumpulan Elite kembali ke pentas dalam Konsert ELITE LIVE ‘25 pada 20 September depan di Plenary Hall, ibu negara.
Peminat akan dihiburkan dengan rangkaian lagu popular Elite yang pernah mencetus fenomena – sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kerjaya seni kumpulan wanita berkenaan.
Kemunculan semula Elite menerusi Konsert genKRU sebelum ini membuktikan populariti mereka masih utuh, dengan sambutan luar biasa dan sorakan gemuruh yang membangkitkan keterujaan ramai penonton.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata konsert itu bukan sekadar mengejar trend semasa, tetapi hadir atas pertimbangan jitu terhadap impak besar yang mampu dibawa Elite.
"Penganjuran ELITE LIVE ‘25 bukan program tangkap muat. Ia hadir atas keyakinan terhadap kekuatan dan legasi kumpulan ini. Lagu-lagu mereka dari era 90-an masih segar dan diminati hingga hari ini," kata Iman.
Sementara itu, wakil Elite, Linda Rafar berkata, konsert ini akan membuka ruang dengan lebih dekat bersama kumpulan kami.
"Keputusan ini dibuat kerana lagu-lagu Elite masih diterima baik dan relevan. Kami mahu berpesta bersama peminat lama, dan meraikan peminat baharu yang mungkin baru mengenali kami," katanya.
Menurut Abby Abadi pula, walaupun banyak lagu yang akan dinyanyikan pada konsert berkenaan, ia akan memberikan kelainan.
"Walaupun lagu sama, tetapi susunan muzik yang berbeza. Kami akan menyanyi secara langsung dengan persembahan yang bertenaga.
"Yang pastinya akan ada kelainan khas untuk para peminat," katanya kepada pemberita.
Shasha Elite pula memaklumkan bahawa berkata, tema konsert kali ini cukup menarik iaitu“Catwalk”, di mana peminat akan disambut dengan karpet merah dalam suasana glamor.
"Konsep ini memang untuk bergaya. Yang penting keyakinan diri – tak kira tinggi, rendah, besar atau kecil – jadi diri sendiri. Raikan malam konsert itu dengan kawan-kawan dan keluarga, itu adalah objektif utama," katanya.
Bagi Azza pula, dia mengharapkan agar konsert pada Semptember depan akan dilakukan sehabis baik untuk menghiburkan semua peminat.
"Insya-Allah dengan doa semua, dengan kelebihan dan pakej lengkap yang Elite ada, semoga konsert ini mampu menghiburkan anda semua," katanya.
Tiket konsert akan dijual pada Khamis, 26 Jun pukul 2.00 petang secara dalam talian, dan ia dijual pada harga RM268 hingga RM1,088.