KUALA LUMPUR, 23 Jun- Penyanyi, pelakon dan usahawan terkenal, Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 42 bergabung tenaga bersama pemuzik dan komposer tersohor dari Indonesia, Ade Govinda, menerusi lagu terbaharu berjudul Luar Biasa.
Lagu ciptaan sepenuhnya Ade Govinda itu disusun dengan muzik segar serta melodi sesuai dengan konsep lagu berkenaan.
Manakala liriknya pula ditulis bersama Fazura dan Veron Savanoah sekali gus menjadikan lagu ini lebih dekat dengan jiwa pendengar.
Fazura menyatakan keterujaannya apabila dapat terlibat dalam projek yang sarat dengan nilai positif.
"Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia benar-benar menggambarkan hakikat hidup – kita semua ada perjuangan sendiri.
"Tapi yang penting adalah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang. Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah, kita mampu menghadapi dengan tenang," kata Fazura.
Sementara itu Ade Govinda yang turut berkongsi ilham di sebalik ciptaan itu menyifatkan ia adalah karya yang dihasilkan sepenuh hati.
"Saya cipta lagu ini untuk semua insan yang pernah jatuh, agar mereka tahu bahawa bangkit itu lebih luar biasa daripada jatuh.
"Lagu ini datang daripada hati, dan saya mahu pendengar menjadikannya sebagai lagu pembakar semangat dalam rutin harian mereka," kata Ade yang turut bertindak sebagai komposer, penyusun dan penerbit lagu ini.
Menurut Ade, segala elemen bermula dengan lirik hingga susunan muzik mudah dilakukan, ianya sangat luar biasa.
Pengalaman merakam lagu dan video muzik juga dianggap menyenangkan kedua-dua artis dari Malaysia dan Indonesia itu.
Menurut Ade, Fazura merupakan seorang yang sangat profesional dan mudah dibawa berbincang hingga proses rakaman vokal dan video muzik dilakukan dalam masa yang sangat singkat.
Fazura pula menyifatkan kolaborasi itu sebagai pengalaman yang memberi impak kepada karier seninya.
"Bekerjasama dengan pasukan produksi dari Indonesia sangat mengujakan. Semua pihak berkongsi tenaga dan visi yang sama.
"Setiap orang membawa kekuatan tersendiri, dan apabila digabungkan, alhamdulillah kami berjaya menghasilkan satu karya yang bukan sahaja indah dari segi muzik tetapi juga kuat dari segi mesej," katanya.