SHAH ALAM, 23 Mac- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini, memperkenalkan Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd sebagai rakan automotif rasmi KHM yang tampil menaja tiga unit kenderaan model Peugeot 5008.
Peugeot 5008 menawarkan ruang kabin lebih luas dengan kapasiti tujuh kerusi yang selesa dan didefinasikan sebagai kenderaan utiliti sukan itu bakal digunakan oleh jurulatih-jurulatih hoki negara.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal menyifatkan penajaan yang telah diterima ini sebagai langkah pembukaan untuk lebih banyak syarikat korporat tampil ke hadapan untuk membantu dan menyokong sukan hoki di Malaysia.
"Kami rasa amat bangga kerana logo MNC terletak dalam satu kereta antarabangsa yang begitu cantik. Kereta ini akan diguna pakai oleh semua jurulatih kami," kata Subahan pada majlis simbolik penajaan yang disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Datuk Sri Ben Yeoh serta Pengarah urusannya, Datuk Wong Kin Foo, bersama Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal di bilik pameran jualan Peugeot Glenmarie.
(Konfederasi Hoki Malaysia (HKM) pada sidang medianya di bilik pameran
jualan Peugeot Glenmarie, Shah Alam hari ini)
Dalam pada itu, menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki yang berada dalam perancangan untuk dianjurkan di tanah air.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan pihaknya sudah mula sibuk berbincang mengenai gerak kerja menganjurkan kejohanan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Disember 2023.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata penjelasan lanjut akan dimaklumkan kemudian selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif yang dijangka diadakan bulan depan.
Datuk Seri Subahan turut memaklumkan, pihaknya pada peringkat awal telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama badan induk dunia, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan mesyuarat jawatankuasa kecil persatuan mengenai perkara itu.
"Dalam bulan puasa ini, Insya-Allah kita akan mengadakan lebih banyak mesyuarat kerana piala dunia adalah pada Disember tahun depan. Kita masih ada masa dan kita akan berusaha keras bersama semua pihak dan akan maklumkan kepada media nanti," tambah Subahan dalam sidang media tersebut.
Saingan piala dunia remaja itu merupakan penganjuran kali keempat yang diadakan di negara ini.
Kali pertama ia dianjurkan adalah pada 1982 di Kuala Lumpur dan 1989 di Ipoh, sebelum kembali menganjurkannya sedekad kemudian secara bersama dengan negara jiran Singapura, pada 2009.