fb fb fb fb fb

Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 : Azroy mahu pertahan gelaran juara

(Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar ketika ditemu bual Berita RTM)

SEPANG, 12 Mac - Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar berazam untuk mempertahankan gelaran juara dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok.

Beliau yang beraksi dalam kelas CP150 masih dalam proses mencari keserasian bersama jentera baharunya jenis Honda RSX-150.

"Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar walaupun saya menggunakan jentera baharu tapi saya masih mencari keserasian dengan jentera baharu, tapi walau apa pun kita kena tengok perlumbaan esok lah,yang pasti saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan podium," katanya ketika ditemu bual Berita RTM selepas melakukan ujian masa bagi perlumbaan yang akan berlangsung esok, di sini.


(Jentera yang bakal digunakan pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022)

Musim lalu, Azroy meraih gelaran keseluruhan berkenaan apabila mengumpul 163 mata, mengatasi pencabar terdekat dari PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran dengan 157 mata.

Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini sebelum ini mengumumkan tiga barisan pelumbanya dalam kelas CP150 iaitu Azroy, Md Amier Rossi Amidi dan Shahrol Syazras Shahrol Yuzy.

Beliau turut menyatakan sasaran pasukan bagi musim ini iaitu mempertahankan gelaran juara keseluruhan selain meraih gelaran juara pasukan yang kali terakhir diraih mereka pada 2014.

Media Baharu