KUALA LUMPUR, 12 Mac- Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi sah tidak akan mempertahankan pingat emasnya pada Sukan SEA di Hanoi Mei ini.
Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariani Nasril mengesahkan Farah Ann, tidak diletakkan dalam senarai akhir skuad gimnastik artistik wanita.
Menurutnya, memandangkan hari ini merupakan tarikh tutup pendaftaran dengan penganjur, MGF perlu meneruskan perancangan tanpa Farah Ann yang merangkul tiga pingat emas pada edisi terakhir Sukan SEA Manila 2019 melalui senaman lantai, palang bertingkat dan All Around.
"Sejak awal lagi kita dengar Farah Ann hendak bersara dan kemudian hendak teruskan tapi bagi MGF, kita tidak boleh tunggu sehingga beliau memberikan jawapan (mengenai masa depan).
"Farah Ann pernah menyuarakan beliau mahu bersara pada 2019 jadi sejak dari itu kita sudah membuat persiapan dalam dua pelan iaitu Pelan A dengan adanya Farah Ann manakala Pelan B tanpa beliau dan sekarang kita pilih Pelan B untuk ke Hanoi.
"Keputusan itu merupakan Pelan B yang sudah lama dirancang skuad gimnastik artistik negara kali ini yang akan menampilkan empat gimnas negara iaitu Tan Ing Yueh, Rachel Yeoh Li Wen, Geanie Ng Ee Ling dan Zarith Imaan Khalid.
"Mengenai penjelasan lanjut bagi menjawab persoalan berhubung persaraannya, saya serahkan kepada Farah Ann sendiri yang dikhabarkan akan membuat satu kenyataan rasmi Isnin ini.
"Saya berikan dia (Farah Ann) ruang sama ada mahu menjelaskan lebih lanjut atau tidak bagi mejawab persoalan semua, itu bahagian dia, biarlah dia yang menerangkan dan meleraikan isu sebenar, selepas itu barulah saya akan beri respon di pihak MGF.
"Tidak adil jika MGF mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa penjelasan Farah Ann terlebih dahulu, ia berkenaan kariernya selaku Olimpian," katanya ketika dihubungi Portal Berita RTM.
(Afrita (empat dari kanan barisan belakang) bersama gimnas negara/FOTO FB MGF)
Ditanya mengenai peluang skuad gimnastik artistik wanita negara tanpa Farah Ann, Afrita mengakui dengan adanya atlet kelahiran Selangor itu peluang Malaysia lebih cerah untuk meraih pingat emas dalam acara berpasukan.
"Agak mudah untuk Malaysia meraih pingat emas acara berpasukan dengan kehadiran Farah Ann...kini tanpa beliau dalam pasukan, kita menyasarkan satu emas dalam acara individu melalui Tan Ing Yueh (melombol) atau Rachel Yeoh Li Wen (palang bertingkat),” katanya
Selain empat gimnas daripada pasukan artistik wanita, MGF telah memutuskan untuk membawa enam gimnas lelaki dalam kategori yang sama, diikuti tiga gimnas bagi acara gimnastik berirama individu wanita dan enam gimnas dalam acara gimnastik berirama berpasukan wanita.
Sementara itu, selepas membisu mengenai perjalanan kariernya, Farah Ann akhirnya tampil mengucapkan 'selamat tinggal' kepada sukan yang dicintainya itu hari ini.
Atlet berusia 27 tahun itu mengimbau kenangan selama 25 tahun pembabitan dalam sukan berkenaan yang menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Farah Ann merasakan ini adalah masa yang sesuai untuknya mengucapkan selamat tinggal kepada sukan gimnastik yang amat diminatinya.
"Dua puluh lima tahun lalu, seorang anak kecil mengambil keberanian dan menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.
"Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif.
"Apa yang boleh saya katakan, terima kasih gimnastik atas memori indah dan pengalaman yang diperoleh. Di sepanjang perjalanan itu, saya mengorak langkah untuk mencapai impian saya, layak dan beraksi di Sukan Olimpik, saya bersyukur atas persaraan saya yang mengikut jangka masa.
"Ia begitu menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Gimnastik akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya, kerana ia akan selalu menjadi minat saya. Saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan ini. Saya mungkin bersara sebagai atlet tetapi saya akan sentiasa terus terbabit dalam dunia sukan," kata Farah dalam satu hantaran berkenaan.
Sebagai rekod, Farah antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan SEA apabila sebelum ini berjaya meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.