fb fb fb fb fb

Hari Seniman Negara dirai sempena hari kelahiran Allahyarham Tan Sri P.Ramlee

(Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tarikh kelahirannya diangkat untuk sambutan Hari Seniman Negara/FINAS)

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Hari Seniman Negara disambut hari ini, ditukar dari tarikh asal pada 29 Mei bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, bagi memperingati jasa dan sumbangan seniman agung tanah air itu.

Pertukaran tarikh berkenaan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan pada 16 Mac lalu.

"Signifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara itu adalah untuk mengangkat karya-karya seniman yang berjaya melahirkan ramai tokoh dan  pakar industri kreatif itu, serta memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

“Cadangan pertukaran tarikh daripada 29 Mei ke 22 Mac tersebut telah diteliti dan pandangan serta maklum balas daripada pelbagai persatuan, pertubuhan berkaitan telah diambil, dan seterusnya mendapat kelulusan Memorandum Jemaah Menteri yang diusulkan oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (K-KOMM),” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Selain mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri kreatif, Annuar berkata sambutan Hari Seniman Negara bertujuan, meningkatkan kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa, khususnya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.

"K-KOMM berhasrat menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan dalam penganjuran Majlis Pelancaran Hari Seniman Negara pada 22 Mac.

(Allahyarham P.Ramlee telah menghasilkan lebih 390 buah lagu selaku penyanyi, komposer dan penulis lirik serta terbabit dalam penghasilan 66 filem/FINAS)

"Ini bagi menghargai sumbangan dan peranan penggiat industri kreatif tanah air, dalam membangun negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya, serta usaha kerajaan memartabatkan industri kreatif ke tahap yang lebih cemerlang," katanya lagi.


(Allahyarham P Ramlee telah menghasilkan lebih 390 buah lagu selaku penyanyi, komposer dan penulis lirik serta terbabit dalam penghasilan 66 filem/FINAS)

Allahyarham P.Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 ketika umat Islam meraikan 1 Syawal.

P.Ramlee adalah anak kepada kepada pasangan Allahyarham Teuku Nyak Puteh Teuku Karim dan Allahyarham Che Mah Hussein.

Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah “Chinta” pada tahun 1948 dengan memegang peranan sebagai penjahat dan penyanyi latar.

Bertitik tolak daripada itu, perjalanannya dalam dunia seni terus rancak berkembang. Di antara tahun 1948 hingga 1955, beliau telah berjaya membintangi 27 buah filem.

Di sebalik kerancakan pembabitannya dalam dunia perfileman ialah Datuk L. Krishnan, pengarah filem Melayu terkenal dari India antara tahun 1950an dan 1960an.

Filem terakhir lakonan beliau ialah Laksamana Do Re Mi (1972). Manakala lagu dan lirik terakhirnya adalah Ayer Mata Di Kuala Lumpur yang dicipta pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubah suai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P.Ramlee" pada tahun 1986.

Pada tahun 1982, di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P Ramlee (dahulunya Jalan Parry).

Sepanjang hayatnya, Allahyarham P.Ramlee telah menghasilkan lebih 390 buah lagu selaku penyanyi, komposer dan penulis lirik serta terbabit dalam penghasilan 66 filem sebagai pelakon, pengarah juga penulis skrip.

Media Baharu