KUALA LUMPUR, 22 Mac - Bekas pemain tengah beberapa kelab Liga Malaysia, Mohd Azizan Baba menghembuskan nafas terakhir pagi tadi, akibat kanser pangkal paha.
Allahyarham yang berusia 41 tahun sebelum ini bertarung dengan kanser berkenaan sejak Ogos 2020.
Allahyarham pernah menyarung jersi Johor FC pada tahun 2005 hingga 2011, selain pasukan Sarawak bagi musim 2012/2013, dan Pulau Pinang pada tahun 2014.
Beliau kemudiannya kembali ke pangkuan Melaka pada musim 2015 dan bersama-sama membawa pasukan Hang Tuah muncul juara Liga FAM.
Kali terakhir penglibatannya dalam bola sepak, Allahyarham berkhidmat sebagai jurulatih kelab Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang beraksi di Liga M3 sebelum ini.
Terdahulu, Azizan pernah menjalani pembedahan membuang sebahagian saraf di pahanya.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) merakamkan ucapan takziah buat keluarga bekas pemain itu dan menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar buat Bola Sepak negeri.