KUALA LUMPUR, 22 Mac - Skuad Harimau Malaya perlu membuktikan sesuatu kepada seluruh peminat bola sepak negara apabila turun beraksi dalam siri persahabatan Tiga Negara FAS 2022 yang akan bermula di Singapura minggu ini.
Pemain sayap lincah Muhammad Faisal Abdul Halim berkata, prestasi yang dipamerkan dalam perlawanan tersebut sudah pasti menjadi penanda aras penting buat skuad kebangsaan sebelum mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.
Dalam dua aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 itu, Malaysia dijadual menentang Filipina pada Rabu ini sebelum bertemu tuan rumah, Singapura pada 26 Mac kemudian.
"Kalau dalam dua perlawanan persahabatan ini, kalau kita tidak boleh membuktikan pasukan kita terbaik. Macam mana kita nak buktikan masa perlawanan di Asia Cup nanti. Kita nak lawan Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh, memang lagi bagus dari Singapura dan Filipina . Kalau Filipina dan Singapura pun tidak boleh macam mana nak bersaing dalam Asia Cup," kata Faisal.
Pemain Terengganu FC berusia 24 tahun itu turut bersetuju dengan Ketua Jurulatih baharu, Kim Pan Gon yang menyifatkan pemain negara sebenarnya memiliki kualiti tersendiri, namun kurang keyakinan diri.
("Pemain negara sebenarnya memiliki kualiti tersendiri," kata Faisal)
"Bukan kita ini tidak ada kemahiran untuk bermain atau tiada keupayaan untuk berlawan dengan kumpulan-kumpulan lain. Cuma kita tiada semangat kesukanan yang betul diterapkan. Sekarang datang jurulatih Kim, kita nampak semangat pasukan yang lebih baik lebih mantap. Pada saya memang perubahan akan berlaku, corak permainan akan berubah kita akan lebih agresif," kataya lagi.
Selepas menentang Filipina dan Singapura, skuad negara akan menamatkan siri persahabatan itu dengan kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini.