fb fb fb fb fb

Hael, Nadeera tambat hati penonton Anugerah Televisyen Asia, sambutan hebat di Indonesia

Nadeera Zaini dan Hael Husaini

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Hael Husaini dan Nadeera Zaini memukau penonton Anugerah Televisyen Asia ke-29 (29th Asian TV Awards) pada 29 dan 30 November lalu di Jakarta, Indonesia.

Kedua-dua penyanyi berkenaan menerima permintaan istimewa daripada Indosiar dan penganjur anugerah berkenaan untuk membuat persembahan tambahan.

Pada awalnya Hael Husaini dan Nadeera Zaini hanya menyanyikan dua buah lagu namun setelah mempersembahkan persembahan memukau, kedua-duanya diminta untuk membuat persembahan pada malam berikutnya.

Pada malam pertama, Hael Husaini memukau ribuan penonton dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu popularnya iaitu Jampi, manakala pada malam kedua, lagu Diam dan Kelentang Kelentong.

"Saya amat bersyukur dan terharu dengan penghormatan ini. Pada asalnya, kami hanya dijadualkan untuk membawakan dua lagu, tetapi apabila diminta untuk membuat persembahan tambahan, ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa.

"Kami sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di acara berprestij ini. Ini adalah peluang besar untuk kami berkongsi budaya dan muzik Malaysia dengan dunia," kata Hael Husaini selepas persembahan.

Sementara itu Nadeera Zaini mempersembahkan lontaran vokalnya menerusi lagu Nirmala dan Bukan Cinta Biasa serta lagu baru ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, Bukan Lagi Kita.

"Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna. Saya tidak menyangka sambutan yang begitu hebat daripada penonton di sini. Dapat kembali ke pentas pada malam kedua dengan lagu tambahan atas permintaan penganjur adalah satu penghormatan yang tidak ternilai dan ini adalah pengalaman yang luar biasa.

"Sokongan peminat dari Malaysia dan juga luar negara memberikan kami semangat untuk terus berkarya dan membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Antara selebriti Asia pada malam anugerah tersebut ialah Luna Maya, Raffi Ahmad, Tony Gapa, Robby Purba & Louise Hesse selaku pengacara dan bintang popular lain iaitu Lesti Kejora, Wulan Guritno, Rina Nose serta Putri Ariani.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI