KUALA LUMPUR, 1 Disember - Penyanyi Hazama kembali dengan album kedua berjudul Pujangga selepas 11 tahun tanpa album studio baharu.
Pujangga yang memuatkan 10 lagu diterbitkan bawah syarikatnya, Hazamaworks Sdn Bhd, bersama-sama Silent Kaiju Studio.
"Pujangga menggambarkan ahli fikir atau pengarang sajak dan syair. Keseluruhan isi album ini adalah cerita yang disampaikan melalui melodi dan lirik yang digarap dengan penuh hati-hati," jelas Hazama.
Beliau yakin bahawa album itu akan kekal relevan dalam kariernya sebagai penyanyi, pemuzik dan penerbit.
Antara lagu yang telah dikongsikan kepada peminat di media sosial ialah Di Mimpiku dan Semacam Pandora.
"Harapan saya, Pujangga dapat mengubat kerinduan peminat terhadap karya baharu selepas jeda panjang sejak album Penglipurlara pada 2013," katanya lagi.
Album Pujangga mula dipasarkan oleh Sony Music pada 29 November lalu.