(Jorge Martin (Kiri), Aleix Espargaro (Tengah) dan Alex Rins (Kanan) meraikan pelumba di podium MotoGP Grand Prix Argentina di litar Termas de Rio Hondo, Argentina/FOTO AFP)
ARGENTINA, 4 April - Penantian Aleix Espargaro untuk menaiki podium pertama akhirnya tercapai selepas muncul juara Grand Prix Argentina awal pagi tadi.
Ia sekaligus memberi sejarah baharu buat pasukannya, Aprilia dengan kemenangan sulung dalam perlumbaan kelas perdana tersebut.
Lebih manis, kemenangan itu diraih pelumba Sepanyol berkenaan pada perlumbaan ke-200nya dalam saingan MotoGP.
Sementara itu, Jorge (Horhe) Martin dari pasukan Pramac Ducati dan wakil Suzuki, Alex Rins melengkapkan kedudukan podium membabitkan semua penunggang Sepanyol.
Secara keseluruhan Espargaro mengambil bahagian dalam 283 grand prix membabitkan tiga kelas sejak 2004.
Kemenangan itu juga menyaksikan Espargaro kini melonjak ke tangga teratas senarai penunggang dengan 45 mata.
Brad Binder dari pasukan KTM pula di tempat kedua dengan 38 mata manakala pelumba Ducati yang juga juara GP Qatar, Enea Bastianini ketinggalan 2 mata di kedudukan ketiga. - AFP