fb fb fb fb fb

'Patatimo Boys' akur terpaksa lupakan hasrat di Masters Orleans

KUALA LUMPUR, 4 April - Beregu muda lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri reda terpaksa melupakan hasrat untuk merangkul kejuaraan sulung di Kejohanan Masters Orleans di Perancis, selepas seorang daripada mereka didapati positif COVID-19, semalam.

Kedua-dua mereka menyifatkan perkara itu sesuatu yang pahit untuk diterima namun sudah mula meletakkan sasaran baharu menjelang penyertaan pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei ini.

"Saya sendiri tidak tahu daripada mana saya terkena jangkitan itu dan hanya diketahui selepas pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan kepada jurulatih kami.

"Tidak menyangka akan keputusan itu namun saya percaya mungkin ada hikmah lebih besar menanti dalam pertandingan lebih besar," kata Muhammad Haikal menerusi satu klip audio dikongsikan kepada media hari ini.

(Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri/Foto BAM)


Senada dengan Haikal, Wan Arif berkata dirinya juga reda dengan keputusan itu selain tumpuan kini beralih buat pasangan dengan julukan “Patatimo Boys’ itu kepada cabaran di Sukan SEA Hanoi.

Beregu Malaysia itu semalam terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada pasangan beregu Belanda Ruben Jille-Ties Van Der Lecq, selepas Muhammad Haikal didapati positif COVID-19 beberapa jam sebelum melangkah ke gelanggang untuk perlawanan akhir.

Penarikan diri pasangan bukan pilihan kejohanan daripada final itu sekali gus menyaksikan Jille-Van Der Lecq muncul juara.

Wan Arif dari Terengganu sementara Muhammad Haikal dari Kelantan sebelum ini melangkah ke final selepas menumpaskan gandingan tuan rumah Eloi Adam-Julien Maio dalam aksi separuh akhir.

Terdahulu, beregu ke-103 dunia itu melakukan kejutan apabila menewaskan satu lagi pasangan tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior yang menghuni ranking ke-30 dunia dalam pusingan pembukaan. - BERNAMA

Media Baharu