fb fb fb fb fb

PSG terus gah di puncak liga

(Penyerang PSG, Kylian Mbappe melarikan bola dari pemain pertahanan Lorient pada aksi Ligue 1/AFP)

PARIS, 4 April - Paris St Germain (PSG) terus melebarkan kedudukan di tangga teratas Ligue 1 selepas membenam Lorient, 5-1 di hadapan penyokong sendiri.

Aksi yang berlangsung di Stadium Parc de Princes itu menyaksikan penguasaan PSG sebaik wisel sepak mula ditiupkan.

Tuan rumah mula mendahului pada minit ke-12 selepas lorongan cantik Kylian Mbappe berjaya disudahkan Neymar.

Minit ke-28, giliran Mbappe pula meledak jaringan hasil hantaran Idrissa Gueye.


(Penyerang PSG, Neymar meraikan jaringan kelima pasukannya pada aksi menentang Lorient pada saingan Ligue 1/AFP)

Babak kedua menyaksikan Lorient merapatkan jurang selepas Terem Moffi berjaya memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan tuan rumah.

Namun ia tidak menjejaskan penguasaan PSG yang terus agresif menyerang.

Mbappe menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-67 menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti.

Enam minit berselang, Lionel Messi pula mencetak nama selaku penjaring sebelum Neymar sekali meledakkan gol pada lewat permainan untuk melengkapkan kemenangan 5-1.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino kini mengutip 68 mata, 12 mata mengatasi Marseille di kedudukan kedua liga.

Media Baharu