KUALA LUMPUR, 28 April-Meskipun selesa menguruskan perniagaan minuman kesihatan, sarang burung, pelakon dan usahawan, Datin Fouziah Gous, menafikan beliau sudah melupakan dunia seni.
Menurut Fouziah, kerinduan untuk berlakon masih menebal.
Namun kekangan masa membuatkan dirinya lebih memfokuskan kepada perniagaan bersama-sama suaminya, Datuk Mohd Zhafran Md. Yusof, sejak 10 tahun lalu.
"Saya rasa saya lagi sibuk daripada berlakon.
"Saya rasa saya lagi tak ada masa berbanding saya dulu.
"Dulu pun tak ada masa, tapi saya rasa sekarang lagilah, sebab dulu baca skrip habis tido. Tak perlu fikir apa. Sekarang balik nak kena pecah kepala fikir apa seterusnya.
"Saya rasa lagi sibuk terutama selepas berkahwin dan sebagainya, jadi kerinduan itu bolehlah diubati dengan kesibukan yang ada.
"Saya masih lagi keluar di televisyen mengacara produk saya sendiri dan sebagainya.
"Jadi ok la seimbang juga, cuma kita tidak boleh dapat semua benda dalam hidup kita. Ada benda kita kena lepaskan dan ada benda yang kita rebut, itu je," katanya kepada pemberita di sini.