KUALA LUMPUR, 9 Mei- Festival Tentang Cinta yang menggabungkan penyanyi tempatan dan Indonesia bakal menggamatkan Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Ogos depan menggabungkan elemen cinta dan muzik.
Ia akan menampilkan penyanyi Indonesia, Andmesh dan Ziva Magnolya, serta barisan artis popular tempatan seperti Hael Husaini, Ara Johari, Adira dan Mary Grace.
Festival bekenaan mendapat kerjasama Tourism Malaysia dan sokongan Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd serta Ticket2U sebagai platform jualan rasmi.
Penerbit konsert, Datuk Suhaila Semaru berkata, ia membuka peluang kepada industri seni muzik tempatan sekali gus menjadi platform pelancongan.
"Festival ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu inisiatif untuk memperkenalkan Sabah sebagai destinasi hiburan dinamik dan mengetengahkan bakat tempatan ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Harga tiket boleh dibeli secara dalam talian bermula 9 Mei dan dijual pada harga RM158 hingga RM988.