fb fb fb fb fb

Do Drama tawar drama pendek tempatan

Majlis pelancaran Do Drama/ RTM

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Rakyat Malaysia kini boleh menikmati kandungan drama bersiri pendek menerusi aplikasi Do Drama.

Ia merupakan sebuah platform hiburan tempatan pertama yang menampilkan drama dalam Bahasa Melayu dan Cina melalui format video menegak menerusi peranti mudah alih.

Menurut Pengarah Drama Byte Sdn Bhd, Eric Tam, Do Drama direka khusus untuk memenuhi kehendak penonton masa kini yang menginginkan kandungan ringkas dan mudah ditonton di mana-mana sahaja.

"Platform ini bukan sekadar menawarkan hiburan tetapi juga memperkenalkan gaya baharu menikmati cerita tempatan dengan pendekatan pantas, berkesan dan relevan.

"Aplikasi ini membolehkan pengguna menikmati episod berdurasi beberapa minit sahaja, sesuai untuk tontonan semasa waktu lapang seperti menunggu atau dalam perjalanan," katanya.

Pelancaran Do Drama akan menampilkan lapan drama bersiri pendek original hasil kerjasama penggiat filem tempatan.

Antara yang akan ditayangkan termasuk 'Paku Hatiku' arahan Aidilfitri Mohamad Yunos, serta 'Rumah Pusaka' dan 'Magika! Bulan Mengembang' terbitan Pekin Ibrahim.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI