fb fb fb fb fb

Muzik video rasmi 'Bulanku', angkat kisah pengorbanan wanita

Muzik video turut menampilkan pelakon terkenal Amyra Rosli/Tangkap layar video Bulan

KUALA LUMPUR, 9 Mei - Muzik video rasmi lagu Bulanku nyanyian penyanyi tempatan Wanns Ahmad kini boleh ditonton di platform YouTube, selepas versi video liriknya meraih lebih 1.2 juta tontonan sejak dilancarkan.

Menariknya, muzik video tersebut turut menampilkan pelakon terkenal Amyra Rosli yang memegang watak wanita cekal dan berjiwa besar, sanggup berkorban demi insan dan keluarga tercinta.

Menurut Wanns Ahmad, beliau bukan sahaja menyanyikan lagu berkenaan, malah turut bertindak selaku pengarah muzik video yang mengetengahkan tema pengorbanan wanita, sama ada sebagai seorang ibu mahupun isteri.

Wanns Ahmad, yang sebelum ini dikenali melalui lagu “Syayangku” dan “Terus Mencintaimu”, kembali dengan karya yang lebih matang dari segi emosi dan penyampaian.

Beliau juga mengakui bahawa Bulanku sangat dekat di hatinya.

“Saya dedikasikan buat semua wanita hebat di luar sana yang sentiasa memberi tanpa syarat. Saya juga berharap lagu dan video ini bukan sekadar hiburan. Saya nak orang tengok dan rasa sesuatu. Saya nak ia jadi ‘wake-up call’ untuk kita lebih menghargai wanita dalam hidup kita.”

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterim kasih kepada pihak Jaxer Sdn Bhd dan New Southern Records kerana masih terus mempercayai bakat saya dalam bidang nyanyian dan bekerjasama dalam penghasilan lagu Bulanku ini “, katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Muzik Video Bulanku di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

 

 

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI